SHAH ALAM – Kerja-kerja pembukaan saliran akan dibuat bermula esok untuk mengalirkan air keluar dari Taman Putra Harmoni,Putra Heights, Subang Jaya bagi mengelakkan tapak letupan ditangkungi air.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini kerana aliran air dari taman berkenaan terus ke tapak kebakaran meskipun telah dipam.
“Ini penting untuk kita menstabilkan kawasan itu sebelum langkah-langkah susulan dapat diambil dan sebahagiannya untuk melengkapkan proses siasatan.
“Jadi, kalau ada apa-apa aktiviti esok jangan terperanjat (dengan kemasukan jengkaut) kerana ia telah dibincangkan tadi (dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri).
“Diperlukan kalau tidak, kawah tersebut akan tetap bertangkung air sebab menjadi tempat ‘discharge monsun dril’ dari Taman Putra Permai,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan laporan awal kebakaran saluran paip gas di Putra Heights akan diketahui dalam masa dua minggu lagi dengan kerja-kerja menstabilkan tanah masih dilakukan susulan struktur atau landskap asal kawasan itu rosak.
Letupan gas itu membentuk kawah sedalam lapan meter dengan lebar 70 diameter. – KOSMO! ONLINE