SUBANG JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sumbangan peribadi berjumlah RM1,000 kepada 308 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas dalam insiden kebakaran paip gas dan berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, di sini hari ini.
Seri Paduka Baginda yang diiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa dan menzahirkan keprihatinan terhadap keluarga yang terjejas.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Jalan Putra Harmoni bagi mendengar taklimat perkembangan siasatan dan tindakan susulan daripada pihak berkuasa.
Dalam kejadian pada pukul 8.10 pagi, Selasa lalu, berlaku kebakaran saluran paip gas Petronas menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan menjejaskan 195 buah kediaman di kawasan sekitar Putra Heights. – KOSMO! ONLINE