BERLIN – Jerman mempertimbangkan rancangan untuk mengeluarkan simpanan emas dari bilik kebal di New York ekoran kebimbangan mengenai dasar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang sukar diramalkan, lapor portal berita The Telegraph semalam.
Berlin menyimpan kira-kira 1,200 tan rizab emas dalam bilik kebal bawah tanah di Rizab Persekutuan AS di Manhattan selama beberapa dekad.
Pemimpin-pemimpin daripada Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) yang bakal menerajui kerajaan Jerman seterusnya, telah berbincang untuk mengeluarkan emas dari New York atas kebimbangan Washington bukan lagi rakan kongsi yang boleh dipercayai, lapor akhbar Bild.
“Sudah tentu, persoalan itu timbul lagi,” kata seorang bekas menteri, Marco Wanderwitz yang melepaskan kerusinya di Bundestag atau Parlimen Jerman tahun ini.
Wanderwitz pernah meminta untuk melawat rizab emas serta melakukan pemeriksaan sendiri tetapi ditolak pada 2012.
Kekayaan Jerman diperoleh selepas Perang Dunia Kedua apabila eksportnya melonjak, mengakibatkan lebihan perdagangan yang besar dengan negara lain.
Lebihan itu ditukar kepada emas di bawah sistem Bretton Woods.
Ahli Parlimen Eropah untuk CDU, Markus Ferber berkata, beliau turut menyokong agar pegawai Jerman dibenarkan untuk memeriksa sendiri jongkong emas tersebut.
“Saya menuntut pemeriksaan berterusan terhadap rizab emas Jerman. Wakil rasmi Bundesbank mesti mengira sendiri setiap jongkong dan mendokumenkan keputusan mereka,” tambahnya.
Kenyataan daripada kedua-dua ahli politik itu dibuat sebelum Trump mengumumkan tarif menyeluruh ke atas Kesatuan Eropah minggu ini.
Anggaran nilai rizab emas Jerman di Manhattan mencecah €113 bilion (RM550 bilion) dan menyumbang 30 peratus daripada rizab emas negara seluruh dunia.
Ahli Persatuan Pembayar Cukai Eropah, Michael Jäger berkata: “Adalah lebih baik untuk membawa semua rizab emas Jerman ke Frankfurt atau ke Eropah dengan secepat mungkin.” – AGENSI