fbpx

F1: Verstappen kritik keputusan Red Bull

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VERSTAPPEN mengakui jentera RB21 memiliki banyak kekurangan sehingga menjejaskan prestasi pelumba. - AFP

TOKYO – Juara dunia empat kali, Max Verstappen menegaskan bahawa fokus utama Red Bull pada saat ini sepatutnya diberikan kepada prestasi jentera dan bukannya terlalu memikirkan soal pertukaran pemandu.

Red Bull membuat keputusan mengejut apabila menggugurkan Liam Lawson selepas hanya dua perlumbaan dan menaikkan Yuki Tsunoda dari Racing Bulls sempena Grand Prix Jepun hujung minggu ini.

Walaupun Red Bull memiliki hak untuk menukar barisan pemandu di antara dua pasukannya, tindakan memberi Lawson hanya dua perlumbaan dilihat tidak adil oleh ramai pemerhati sukan itu.

Menurut Verstappen, masalah sebenar pasukan adalah pada jentera RB21 yang tidak stabil, malah sukar dikawal.

“Saya rasa isu utama kami ialah pada kereta. Semua orang dalam pasukan tahu itu. Jika kereta lebih kompetitif dan senang dipandu, prestasi akan datang dengan sendiri, termasuk kepada pemandu kedua.

“Kereta bermasalah di beberapa fasa selekoh dan bergantung kepada banyak faktor seperti kelajuan selekoh, permukaan trek, tayar, suhu, bonggol, dan sebagainya. Bukan satu masalah sahaja, tapi kombinasi beberapa perkara,” kata Verstappen.

Verstappen kini di tempat kedua dalam kedudukan keseluruhan selepas meraih tempat kedua di Grand Prix Australia dan keempat di China, namun mengakui McLaren ketika ini berada “jauh di hadapan” dan sukar untuk dipintas.

“Kami datang ke setiap perlumbaan dengan harapan untuk dapatkan yang terbaik, tapi buat masa sekarang, walaupun kami meningkatkan prestasi, saya rasa itu masih belum cukup untuk kalahkan McLaren,” tambah Verstappen. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI