SUBANG JAYA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi jaminan kepada penduduk yang terjejas dalam kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di sini bahawa bantuan akan disalurkan pada Isnin ini.
Menurut beliau, senarai nama penerima telah disahkan dan satu sesi taklimat khas akan diadakan dalam masa terdekat kepada mereka yang tidak tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Ini supaya maklumat mengenai bantuan sampai kepada penduduk memandangkan taklimat awal hanya diberikan kepada mereka yang berada di PPS.
“Kita akan salur pada Isnin. Saya akan maklumkan lokasi pengagihan bantuan kewangan dan beri jaminan bantuan ia akan sampai kepada mereka yang layak,” katanya.
Amirudin berkata demikian selepas memberi taklimat kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sebanyak 100 buah kediaman dikenal pasti bagi tujuan penempatan sementara, sekiranya diperlukan mangsa.
“Kita akanmaklumkan untuk dapatkan penempatan sementara dan kemudian kita akan ganti atau baiki rumah tersebut.
“Ia mungkin ambil sedikit masa kerana kawasan itu perlu disahkan selamat oleh pihak polis terlebih dahulu,” kata beliau. – KOSMO! ONLINE