PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bahawa rundingan lanjutan kontrak beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah masih berlangsung walaupun timbul spekulasi mereka akan bergerak secara profesional.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh mengesahkan bahawa kontrak beregu ranking No. 5 dunia tersebut telah tamat pada Januari lalu dan rundingan mengenai kontrak baharu dalam proses serta belum mencapai keputusan muktamad.
“Saya lebih suka untuk tidak membuat sebarang spekulasi. Bagi saya, mereka (Pearly-Thinaah) masih berada di BAM dan saya tidak tahu sama ada mereka akan keluar atau tidak (tinggalkan BAM).
“Keduanya, mereka masih berlatih di BAM dan apa yang saya perhatikan, mereka masih gigih berlatih dan komitmen mereka masih kukuh dan itu adalah perkara yang paling penting bagi saya.
“Benar, kontrak mereka berakhir pada Januari lalu dan ketika ini masih dalam proses rundingan. Mengenai tuntutan saya tidak boleh dedahkan.
“Tetapi, bagi saya ini adalah proses biasa kerana jika kontrak habis pasti akan ada perbincangan kenaikan gaji dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Sementara itu, ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak menganggap laporan mengenai anak buahnya, Pearly-Thinaah mahu meninggalkan BAM hanyalah khabar angin semata-mata.
Menurut beliau, ia juga tidak mengganggu gandingan nombor satu negara itu dalam membuat persiapan rapi terutama menjelang Kejohanan Badminton Asia (BAC) minggu depan di Ningbo, China.
“Sebagai jurulatih dan wakil BAM, saya harap mereka kekal bersama kami. Saya tidak tahu tentang urusan mereka (tuntutan) secara terperinci kerana saya lebih fokus kepada latihan mereka,” kata Rosman.
Beregu ranking No. 5 dunia tersebut dikatakan bakal bergerak secara profesional dan bakal meninggalkan BAM sekiranya rundingan kedua-dua pihak tidak seiring.
Sebelum ini, timbul spekulasi melaporkan kedua-dua pemain negara itu menuntut kenaikan gaji daripada BAM dan turut dalam rundingan mendapatkan penaja lain di luar BAM.