SUBANG JAYA – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyampaikan bantuan kepada 219 pelajar yang terkesan akibat tragedi letupan saluran paip gas di Putra Heights bagi memastikan mereka dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa.
Pengerusi YIDE, Tan Sri Mazlan Mansor berkata, bantuan ini diberikan selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjaga kebajikan pelajar yang terjejas.
“Sebanyak 194 pelajar sekolah rendah dan menengah serta 25 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan taska telah dikenal pasti menerima bantuan.
“Kita memberi bantuan khusus iaitu bagi pelajar-pelajar IPT, kita bagi sumbangan RM500, dan bagi pelajar-pelajar taska seramai lapan orang, masing-masing menerima RM100,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, mangsa-mangsa yang mendapat sumbangan menyifatkan bantuan yang diterima dapat membantu memulihkan semangat kanak-kanak yang masih belajar.
Siti Zanariah Muhamad Yunus, 50, berkata sumbangan yang diperolehi sedikit sebanyak dapat menampung kerosakan barangan persekolahan anaknya yang kini berada di peringkat sekolah rendah.
“Saya berasa lega sebab bantuan ini dapat menggantikan alatan sekolah anak saya yang rosak akibat kebakaran dan meningkatkan semangatnya,” ujarnya.
Seorang lagi penerima bantuan, Zurina Mohd. Isa, 49, bersyukur menerima sumbangan awal terutamanya kepada anak perempuan yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bantuan awal sebab rumah pun terjejas lebih-lebih lagi untuk anak perempuan saya yang kini tingkatan lima bagi memulakan persekolahan,” katanya. -KOSMO! ONLINE