IPOH – Polis sedang menyiasat kejadian seorang wanita hamil yang maut didakwa dilanggar lari sebuah kereta di Kilometer 264.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora, di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan lanjut dijalankan termasuk mengesan pemilik kenderaan terlibat.
“Ya, kita sedang melengkapkan siasatan. Insya-Allah, siaran akhbar akan dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial dipercayai daripada ahli keluarga mangsa yang memohon bantuan orang ramai mengesan pemilik kenderaan yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan dua beranak dan seorang bayi perempuan dalam kandungan.
Melalui perkongsian itu, seorang lelaki dipercayai adik mangsa memaklumkan berlaku unsur langgar lari dalam kejadian berkenaan
Menerusi rakaman kamera papan pemuka, kenderaan terlibat meneruskan perjalanan dan tidak berhenti memberikan bantuan selepas menggilis mangsa yang tercampak di tengah laluan jalan.
“Dah langgar lari, kalau tak sengaja sekali pun berhentilah tepi atau bantu. Ini jalan terus dan lari, betul-betul tiada perasaan sebagai seorang manusia.
“Mohon bantuan sahabat-sahabat untuk kongsi (hantaran tersebut). Kita cari sampai dapat, semoga dipermudahkan,” katanya.
Dalam perkongsian sama, lelaki terbabit turut mendakwa punca kemalangan itu kerana terdapat minyak di atas jalan yang menyebabkan kereta jenis Perodua Bezza dipandu suami mangsa terbabas. – KOSMO! ONLINE
@khazanahpro #langgarlari😭 #hatihati ♬ bunyi asal – KhazanahPro