SUBANG JAYA – Pemilik 115 kediaman yang terjejas akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dibenarkan masuk ke rumah mereka secara berfasa bermula hari ini.
Pegawai Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed, berkata fasa pertama melibatkan 41 pemilik rumah di Jalan 1/3A, yang dibenarkan masuk bermula pukul 9.30 pagi bagi tujuan pemeriksaan keselamatan, khususnya melibatkan pendawaian elektrik.
“Jika pendawaian berada dalam keadaan baik, bekalan elektrik akan disambungkan semula.
“Penduduk juga akan menjalani pemeriksaan inventori sebelum dibenarkan menetap kembali di kediaman mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau menambah, selepas selesai fasa pertama, kemasukan penduduk bagi fasa kedua dan ketiga akan diteruskan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
Salah seorang penduduk, Aziz Jidon, 69, berkata dia telah dibenarkan masuk ke rumahnya di Taman Putra Harmoni semalam untuk mengambil barang keperluan penting.
Katanya, hari ini pula dia diberi peluang untuk membawa keluar kenderaan.
“Jika dibenarkan masuk, saya amat bersyukur sebab banyak barang yang saya nak tengok dirumah.
“Apa-apa keputusan saya ikut sahaja, kalau boleh masuk kita masuk… terima kasih atas tindakan pantas pihak berkuasa, saya amat hargai,” ujarnya.
Sementara itu, Iqman Zikry, 24 berkata maklumat yang diterima buat masa sekarang hanya pihak berkuasa menjalankan siasatan mengenai elektrik di rumah.
“Saya baru sampai dalam beberapa minit dan buat masa sekarang tiada lagi makluman penting yang saya terima daripada mangsa yang lain.
“Kalau boleh masuk alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang memudahkan urusan mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE