PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mewujudkan kempen yang dikenali sebagai “Ikuti MyPLUS-TTA Sempena Hari Raya Aidilfitri” dengan menyarankan pengguna lebuh raya merancang dan mematuhi perjalanan pulang ke ibu kota selepas menyambut Aidilfitri.
PLUS dalam kenyataannya memaklumkan, tujuan penyediaan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA di aplikasi PLUS adalah untuk membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan dengan lebih efisien.
Katanya, ia juga membantu memastikan aliran trafik yang lebih seimbang, sekali gus memberikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan selesa.
“Dengan mematuhi MyPLUS-TTA, pengguna lebuh raya dijangka dapat menikmati perjalanan yang lebih lancar sepanjang musim perayaan.
“PLUS terus komited dalam meningkatkan pengalaman perjalanan pengguna lebuh raya dengan sentiasa menambah baik strategi pengurusan trafik bagi tempoh cuti perayaan utama,” menurut PLUS hari ini.
Dalam pada itu, PLUS menjangkakan Hari-Hari Puncak pada bermula esok hingga Ahad, sebanyak lebih daripada dua juta kenderaan sehari di rangkaian lebuh raya.
Dengan pengguna lebuh raya yang mendaftar dan mematuhi MyPLUS-TTA sehingga 6 April, pengguna lebuh raya akan berpeluang memenangi hadiah sehingga RM20,000 di aplikasi PLUS.
“Seramai enam pemenang hadiah utama bakal membawa pulang baucar hotel bernilai RM2,500 setiap satu, manakala 50 pemenang hadiah saguhati akan menerima kredit Touch ’n Go eWallet masing-masing bernilai RM100 setiap seorang,” kata PLUS. – KOSMO ONLINE