SUBANG JAYA – Kaunter Menyemai Kasih Rakyat yang disediakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mangsa kes letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights amat membantu mereka yang kehilangan dokumen pengenalan diri.
Seorang mangsa, Nicholas Ng, 41, berkata, inisiatif tersebut dapat menjimatkan masa kerana tidak perlu ke pejabat JPN untuk urusan terbabit.
Katanya, urusan hanya mengambil masa kurang setengah jam untuk dia dan keluarga terdiri daripada lima orang untuk mendapatkan semula kad pengenalan dan sijil kelahiran.
“Prosesnya cepat dan efisien, ‘siap on the spot’. Sangat membantu sebab banyak benda dah hilang, sekurang-kurangnya ini dapat menjimatkan masa dan memudahkan urusan kami,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Adam, 28, berkata, proses untuk permohonan semula dokumen pengenalan diri berjalan dengan lancar kerana pihak JPN telah mempermudahkan urusan bagi mangsa kebakaran .
“Semua dokumen terbakar, termasuk kad pengenalan dan sijil kelahiran ahli keluarga saya. Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa.
“Saya bersyukur kerana proses di JPN ini cepat dan membantu saya menguruskan dokumen penting bagi meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.
Zuraidah Zaibidin, 46, pula berkata, dia dan ahli keluarganya berada di kampung di Taiping, Perak sewaktu kejadian.
Katanya, dia melakukan proses pembaharuan dokumen penting di kaunter JPN yang dibuka di PPS berkenaan sebaik tiba dari kampung.
“Anak saya yang melakukan proses pembaharuan dokumen kad pengenalan dan surat beranak untuk ahli keluarga saya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE