SHAH ALAM – Seramai 85 pemilik rumah yang terkesan akibat kebakaran saluran gas di Putra Heights sebelum ini, akan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing bermula hari ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini selepas kediaman mereka didapati selamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Tenaga Nasional Berhad serta utiliti lain.
Justeru katanya, ada sambungan asas bekalan elektrik dan air di unit-unit tersebut.
“Pihak Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah akan memaklumkan kepada setiap pemilik-pemilik itu dan diberikan peluang kepada mereka mulai hari ini.
“Kebanyakan yang dibenarkan pulang ada bagi kawasan Taman Putra Harmoni,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.
Menurut beliau, daripada 235 rumah rosak didapati terdapat 105 telah diisytiharkan selamat oleh JBPM, setakat hari ini.
Namun, katanya, hanya 85 rumah berkenaan yang telah mendapat bekalan air.
“Dari masa ke semasa, kita akan lihat dan bagi ruang kepada mereka untuk pulang ke rumah masing-masing,”katanya. – KOSMO! ONLINE