PUTRAJAYA- Seramai 48 orang mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Puchong masih dirawat di fasiliti kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan swasta untuk rawatan lanjut.
KKM berkata, daripada jumlah itu, sejumlah 30 orang mangsa dirawat di hospital bawah KKM, manakala 18 orang lagi di fasiliti kesihatan swasta.
Katanya, seramai 45 orang mangsa ditempatkan di wad biasa, manakala tiga lagi masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
“Seorang mangsa lelaki berusia 65 tahun masih dirawat di ICU Hospital Ampang dengan mengalami enam peratus ‘Partial Thickness Burn’ dan ‘Chemical pneumonitis with type II respiratory failure’.
“Mangsa kedua ialah seorang wanita berusia 32 tahun yang dirawat di ICU Hospital Kuala Lumpur dengan mengalami 33 peratus ‘burn with BE grade I thermal burn injury’,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, seorang lagi pesakit masih dirawat di ICU Pusat Perubatan Sunway.
KKM berkata, setakat ini, seramai 134 mangsa telah menerima rawatan dengan 86 orang dibenarkan pulang.
Selain itu, tiada sebarang kematian direkodkan dalam insiden terbabit setakat ini.- KOSMO! ONLINE