KLANG – Dua nelayan warga Indonesia menempuh detik getir apabila terapung selama 24 jam selepas bot dinaiki terbalik dipukul ombak dalam kejadian kira-kira 19 batu nautika di barat Pulau Tengah, di sini semalam.
Kedua-dua mangsa lelaki dikenali Roy Tampa, 25, dan Admeral Chaniago, 51, bagaimanapun berjaya diselamatkan kira-kira pukul 10 pagi oleh kapal minyak yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, sepasukan anggota telah digerakkan bagi tujuan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) kira-kira pukul 9.30 pagi selepas menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru.
Katanya, pusat operasi bagaimanapun menerima maklumat daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM) bahawa kapal minyak ORKIM Sapphire telah menemui dan menyelamatkan mangsa selepas setengah jam selepas operasi bermula.
Kapal itu semasa kejadian dalam perjalanan dari Pelabuhan Sungai Udang, Melaka ke Pulau Pinang.
“Kemudian kedua-dua mangsa dipindahkan ke bot PENGAWAL 26 sebelum dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah kira-kira pukul 5 petang.
“Setibanya di jeti, kedua-dua mangsa yang dalam keadaan keletihan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk proses selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sepanjang bot nelayan tersebut karam didapati kedua-dua mangsa berpaut pada bot itu dan terapung selama 24 jam.
Jelas Abdul Muhaimin, kedua-dua mangsa seterusnya diserahkan kepada wakil Kedutaan Besar Republik Indonesia pada pukul 8 malam hari kejadian.
“Kami menghargai kerjasama semua pihak terutamanya kapal minyak berkenaan yang telah bertindak pantas bagi mengelakkan insiden kehilangan nyawa,” katanya. – KOSMO! ONLINE