LIPIS – Bukan sahaja terus menjadi tempat pembuangan sampah, tetapi bahu jalan laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) di sini turut menjadi tempat segelintir individu untuk kencing meskipun empat kawasan rehat dan Rawat (R&R) disediakan sepanjang laluan berkenaan.
Tinjauan Kosmo! hari ini mendapati masih terdapat kenderaan berhenti di kawasan itu dan terdapat banyak sampah sarap termasuk plastik dan bekas makanan yang dibuang di bahu jalan berkenaan selain bau busuk yang hancing.
Malah tanpa segan silu beberapa pengguna jalan raya dilihat melepaskan hajat membuang air kencing di tepi jalan meskipun laluan berkenaan tidak putus-putus dilalui kenderaan orang ramai.
Seorang Penduduk tempatan, Muhammad Ramdzi Yusof, 37, meluahkan rasa kecewa kerana masalah itu berulang setiap tahun, walaupun kerajaan membelanjakan jutaan ringgit menyediakan hentian rehat dan rawat (R&R) sementara serta tong sampah.
“Sebelum ini, ada yang bising kata tak cukup kemudahan. Sekarang kerajaan sudah sediakan hentian sementara dan tong sampah, tetapi perangai tetap sama.
“Saya pun tak faham, susah sangat ke nak buang sampah dalam tong? Bukannya kena bayar pun,” katanya di sini, hari ini.
Seorang lagi pengguna jalan raya, Jannah Kamarudin, 32, mencadangkan agar tindakan lebih tegas diambil terhadap mereka yang ambil mudah membuang sampah merata-rata. – KOSMO! ONLINE