BENTONG – Ketika isu sampah di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) masih belum lagi selesai, kini kemudahan kawasan rehat dan rawat (R&R) Sementara Bentong Bypass pula menjadi mangsa vandalisme segelintir pengguna laluan berkenaan.
Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengguna jalan raya itu menyaksikan terdapat pintu tandas LTU di sini rosak dan tercabut sehingga tidak dapat digunakan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Rose Samsul Abdul Razak berkata, pihaknya amat kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengguna jalan raya yang merosakkan kemudahan disediakan itu.
“Perbuatan itu membuatkan pengguna lain pula yang menghadapi masalah untuk menggunakan tandas yang disediakan.
“Kerajaan sudah menyediakan kemudahan, jadi kenapa masih ada segelintir individu yang hendak memusnah dan mengotorkannya,”katanya di sini hari ini.
Menurut Rose Samsul, pihaknya mengambil tindakan segera bagi membaiki kerosakan berkenaan agar dapat digunakan pengguna jalan raya laluan itu.
Justeru beliau berharap kemudahan yang disediakan dapat digunakan dengan sebaik mungkin dan sampah dibuang ke dalam tong sampah disediakan.
Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini kerajaan telah membuka empat buah R&R Sementara di laluan LTU iaitu di Lebu dan Mempaga di Bentong, di Raub dan juga di Lipis bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya sekaligus mengatasi isu pembuangan sampah di tepi laluan LTU.
Bagaimanapun tinjauan Kosmo! baru-baru ini mendapati segelintir pengguna LTU masih berhenti di tepi laluan LTU dan membuang sampah merata-rata. – KOSMO! ONLINE