SABAK BERNAM – Polis membuka kertas siasatan berhubung kebakaran gerai khemah mercun yang mencederakan empat pekerjanya di di Kampung Batu 9 Pekan di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam, kira-kira pukul 1.15 pagi.
Katanya, semakan mendapati premis perniagaan itu mempunyai kebenaran lesen menjual dan memiliki mercun atay bunga api.
“Kebenaran lesen itu dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam mulai 07 Mac lalu hingga 5 April ini.
“Empat mangsa yang merupakan pekerja gerai itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam bagi mendapatkan rawatan,” katanya hari ini.
Tambah Md. Yusof, kertas siasatan dibuka pihaknya mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan.
Justeru, kata beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada IPD di talian 03-32245963 atau balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE