fbpx

Mangsa kebakaran mungkin dipindahkan ke tempat lebih selesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian mangsa kebakaran saluran gas mengambil pakaian di Taman Harmoni, Putra Heights ketika ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

SUBANG JAYA – Kerajaan Selangor sedang mengadakan perbincangan dengan agensi swasta dan Petronas bagi menempatkan mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights ke lokasi yang lebih selesa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi berkata, ia bagi membuat persiapan menjelang pembukaan sesi persekolahan dan kembalinya orang ramai ke tempat kerja selepas cuti perayaan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri itu berkata, pihaknya tidak mahu bergantung terlalu lama kepada pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan di Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Kita ada bincang bersama dengan pihak swasta dan hotel untuk kita mencari tempat yang lebih selesa dan tersusun.

“Ini kerana minggu depan sudah mula sesi persekolahan dan orang mula kembali bekerja. Mungkin di PPS ini tidak dapat menampung mangsa kebakaran untuk jangka masa yang lama,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS Masjid Putra Heights, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Najwan memaklumkan bahawa syarikat automotif Chery telah bersetuju untuk menaja pinjaman 50 unit kenderaan kepada mangsa kebakaran yang memerlukan.

Selain itu, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan cadangan untuk menyediakan rumah sewa bersubsidi bagi mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat insiden tersebut.

Mohd. Najwan turut memaklumkan bahawa terdapat mangsa yang ingin pulang ke rumah mereka di Kampung Kuala Sungai Baru kerana kediaman mereka tidak mengalami kerosakan teruk.

Bagaimanapun, ujarnya pihak berkuasa masih tidak membenarkan kepulangan mereka atas faktor keselamatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI