SUBANG JAYA – Jumlah mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat kebakaran paip gas di Putra Heights meningkat kepada 393 orang daripada 99 keluarga setakat malam ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata angka itu menunjukkan peningkatan berbanding pagi tadi.
Katanya, kesemua mangsa kini ditempatkan di Masjid Putra Heights dan Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia).
“Seramai 323 orang daripada 84 keluarga dipindahkan ke Dewan Masjid Putra Heights, manakala 70 orang daripada 15 keluarga ditempatkan di Dewan Camelia,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Selain itu, katanya seramai 41 mangsa menerima rawatan di hospital dengan 30 orang dirawat di hospital kerajaan dan 11 orang di hospital swasta.
“Setakat ini, dua mangsa berada di zon merah, manakala 39 lagi dalam zon kuning. Mangsa dalam zon hijau kebanyakannya telah dibenarkan pulang,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan 364 mangsa daripada 74 keluarga terjejas dalam kebakaran yang menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu dianggarkan mencecah 1,000 darjah Celsius. – KOSMO! ONLINE