PETALING JAYA – Penduduk di kawasan Putra Heights dikejutkan dengan satu letupan kuat yang berlaku pagi semalam, menyebabkan ramai panik dan bertindak menyelamatkan diri.
Kejadian yang berlaku sekitar pukul 8 pagi itu disifatkan sebagai sesuatu yang lain daripada kebiasaan, dengan letupan yang mengeluarkan asap tebal seperti ‘cendawan’ di udara.
Seorang penduduk, Siti Hamimah Bakiri, 50, bersama ibunya berkata, dia sedang bersiap untuk keluar beraya bersama keluarganya sebelum terdengar bunyi letupan yang kuat.
“Mula-mula kami dengar letupan, bila tengok ke luar, nampak api dan asap berkepul naik ke langit. Tidak lama selepas itu, batu dan tanah mula berterbangan dan jatuh atas bumbung rumah.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih cemas apabila bahang panas daripada letupan tersebut dapat dirasakan dengan jelas.
“Saya bersama ahli keluarga segera mengangkat ibu kami ke dalam kereta dan meninggalkan rumah untuk mencari tempat berlindung.
“Kami tak fikir apa-apa lagi, hanya mahu lari menyelamatkan diri. Terasa panas yang sangat kuat. Kami berlari dalam keadaan tergesa-gesa, ada yang hanya berkain sarung dan bertuala mandi kerana kejadian berlaku secara tiba-tiba,” jelasnya.
Penduduk juga mendakwa ada kenderaan di kawasan berhampiran yang mengalami kerosakan akibat bahang panas.
“Kami nampak plat nombor dan lampu kereta ada yang cair, malah ada motosikal yang turut terjejas,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE