fbpx

Ken Nee teruskan program pencarian bakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yeoh Ken Nee telah dilantik menjadi Pengarah Teknikal Skuad Terjun Negara yang baharu.

PROGRAM pencarian bakat baharu sukan terjun yang dimulakan oleh bekas Pengarah Teknikal, Bryan Nickson Lomas akan terus dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan pembangunan atlet negara menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Menurut Pengarah Teknikal Skuad Terjun Negara yang baharu, Yeoh Ken Nee program yang diperkenalkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan diteruskan bagi memastikan pembangunan atlet muda negara tidak terhenti.

“Program ini akan diteruskan kerana ia adalah inisiatif yang baik untuk mencari bakat baharu bagi persediaan ke Olimpik LA 2028. Namun, buat masa ini, ia belum bermula sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, program pencarian bakat Sukan Akuatik Terjun Jelajah Malaysia telah diadakan di beberapa negeri sejak 20 April 2024.

Antara lokasi yang terlibat termasuk Negeri Sembilan, Johor, Melaka, serta negeri-negeri utara seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dari 17 hingga 19 Mei 2024.

Program itu adalah hasil kerjasama Persatuan Akuatik Terjun Kebangsaan, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negeri, dengan sokongan tenaga pakar dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Cawangan Perlis serta Bahagian Mengenalpasti Bakat ISN.

Seramai hampir 200 kanak-kanak berusia 7 hingga 14 tahun telah diuji menerusi beberapa siri ujian kecergasan dan ujian spesifik sukan terjun, selain mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa yang menyokong usaha pencarian atlet muda negara.

Dengan kesinambungan program pembangunan bakat serta persiapan skuad terjun menghadapi kejohanan antarabangsa, diharapkan sukan terjun negara terus melahirkan atlet cemerlang yang mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI