SHAH ALAM – Sebanyak 50 buah kenderaan jenama Chery disediakan secara percuma dalam membantu mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, ramai mangsa kehilangan kenderaan dalam kebakaran tersebut.
“Setelah meninjau kawasan terjejas semalam dan memahami keperluan mendesak penduduk untuk pengangkutan, saya segera menghubungi Chery Malaysia.
“Saya amat menghargai respons pantas dan keprihatinan mereka dalam menyediakan 50 kenderaan untuk membantu mangsa bencana,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya.
Justeru, kata beliau, mangsa boleh memohon menerusi laman sesawang https://bit.ly/bantuankeretasementara .
Terdahulu, kejadian tersebut telah menyebabkan 225 unit kenderaan terbakar manakala 174 unit terjejas.
Kebakaran yang berlaku kira-kira 8.10 pagi semalam berpunca daripada kebocoran paip gas sekali gus menyebabkan kebakaran di saluran sepanjang 500 meter (m). – KOSMO! ONLINE