SUBANG JAYA – Puluhan penduduk Taman Putra Harmoni masih menunggu arahan pihak berkuasa untuk kembali ke kediaman masing-masing selepas insiden letupan paip gas yang berlaku di kawasan itu, semalam.
Tinjauan Kosmo! mendapati, kebanyakan penduduk yang terjejas berkumpul berhampiran lokasi kejadian bagi mendapatkan perkembangan terkini, namun sehingga kini tiada keputusan muktamad dikeluarkan pihak berkuasa.
Seorang penduduk, Shahrilzal, 52, berkata selama hampir 15 tahun menetap di kawasan itu, tiada sebarang kejadian seumpama ini berlaku.
Katanya, pembinaan yang dijalankan sejak kurang setahun lalu menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk.
“Sewaktu kejadian, saya lihat jiran-jiran keluar menyelamatkan diri, jadi saya sendiri tidak sempat mengambil dokumen peribadi sebelum meninggalkan rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Natasha Abdullah, 30, berkata dia bersama keluarga kini ditempatkan di Masjid Putra Heights sementara menunggu keputusan pihak berkuasa berhubung perkara itu.
“Kawasan rumah saya tidak mengalami kerosakan teruk berbanding kejiranan lain, tetapi pihak bomba masih belum membenarkan kami masuk kerana terdapat asap yang di kawasan perumahan,” ujarnya.
Terdahulu, jumlah mangsa yang terjejas dalam kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya meningkat kepada 529 orang pagi ini, berbanding 427 orang malam tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata mangsa terdiri daripada 118 keluarga yang kini ditempatkan di dua PPS iaitu di Dewan Masjid Putra Heights dan Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia). – KOSMO! ONLINE