LEGENDA bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan percaya tiada apa yang mustahil buat Sri Pahang menjelang aksi final Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 26 April depan.
Menurut Zainal, kedua-dua pasukan dilihat memiliki kelebihan masing-masing dan berpeluang untuk bergelar juara pada perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu nanti.
“Bagi saya, ini final yang dinanti-nantikan kedua-dua penyokong. Sri Pahang menyerlah di Piala Malaysia, sementara JDT tetap juara liga yang dominan.
“Piala Malaysia adalah trofi yang dikejar pemain tempatan dan kedua-dua pasukan pastikan akan memberikan segalanya. Bola itu bulat. Kita pernah lihat banyak kejutan terjadi seperti 2014.
“Jadi JDT pasti akan lebih berhati-hati, sementara Sri Pahang akan bermain tanpa tekanan. Ini adalah peluang mereka untuk bersinar,” katanya.
Lebih menarik, aksi final membabitkan kedua-dua pasukan ibarat perlawanan ulangan edisi 2014 yang mana Tok Gajah bergelar juara selepas menang penalti 5-3. – KOSMO! ONLINE