SUBANG JAYA – Seramai 109 keluarga melibatkan 489 mangsa kebakaran di Putra Heights telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Noraini Ahmad bersama Kerajaan Negeri Selangor dan badan bukan kerajaan (NGO) terus memberi bantuan kepada mangsa yang terjejas.
“Antara mereka, terdapat empat individu orang kurang upaya (OKU), 21 bayi dan seorang ibu yang baru sahaja melahirkan anak.
“Kami sangat menghargai bantuan tidak henti-henti daripada NGO dan penyumbang yang telah memberikan sumbangan yang sangat diperlukan sejak semalam.
“Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah merangkumi barangan keperluan asas seperti makanan yang dihantar setiap hari,” katanya kepada pemberita hari ini.
Yayasan Kebajikan Negara juga katanya, akan menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada mangsa melalui unit Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) secara bergerak untuk menangani kesan trauma yang mungkin mereka alami akibat bencana tersebut.
“Kami juga bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dijangka akan membuka kaunter untuk memudahkan mangsa yang kehilangan dokumen seperti kad pengenalan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE