PETALING JAYA – “Rumah kami terasa bahang dan tingkap serta ‘sliding door’ (pintu gelangsar) bergegar kecil.”
Itu perkongsian salah seorang penduduk yang tinggal berhampiran lokasi kejadian letupan gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights yang terbakar pagi tadi.
Raziq Rusyaidy Sahibul Tuah, 23, berkata, kediamannya terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian dan hanya menyedari kebakaran yang berlaku sekitar pukul 8 pagi tadi.
“Saya dan keluarga yang tinggal di Kampung Sri Langkas boleh merasai kesan bahang dalam dan sekitar rumah selain tingkap serta ‘sliding door’ bergegar kecil.
“Namun kebakaran tidak semarak pagi tadi dan sudah banyak berkurangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, anggota bomba berjaya mengeluarkan tujuh mangsa termasuk dua warga emas dari beberapa buah rumah berhampiran lokasi kejadian letupan gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Height, Subang Jaya, yang terbakar pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor berkata, kebakaran masih berlaku dan pihak Petronas telah menutup injap saluran paip yang terbakar.
“Kebakaran masih berlaku dan pihak Petronas telah menutup valve saluran paip yang terbakar (masih belum diketahui berapa jarak valve tutup). – KOSMO! ONLINE