PARIS – Sebuah pesawat EasyJet terpaksa membatalkan penerbangan selepas dilanggar sebuah lori di Lapangan Terbang Paris Orly, Perancis semalam, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku apabila lori jenama Scania itu melanggar bahagian belakang pesawat enjin berkembar yang diparkir di landasan tersebut.
Imej yang dikongsi memaparkan kerosakan pada badan pesawat, manakala lori tersebut remuk di bahagian bumbung dan sebahagian cerminnya pecah.
Jurucakap EasyJet berkata, pesawat tersebut adalah jenis Airbus A320 yang mempunyai kapasiti seramai 146 penumpang.
“Pesawat itu seharusnya melakukan enam penerbangan tetapi kini digantung untuk pemeriksaan dan pembaikan.
“Tiada penumpang yang berada di dalam pesawat semasa kejadian. Nahas ini dijangka menelan kos lebih £100,000 (RM573,000),” tambahnya.
Polis masih menjalankan siasatan sama ada pemandu lori terbabit secara tidak sengaja menekan pedal minyak berbanding brek. – AGENSI