PETALING JAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) meminta orang ramai tidak menerbangkan dron di kawasan berlakunya insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Puchong.
CAAM dalam kenyataannya berkata, larangan itu bertujuan mengelak sebarang kejadian tidak diingini terutama aspek keselamatan orang ramai dan pasukan penyelamat yang sedang menjalankan operasi pemantauan udara di lokasi kejadian.
“Lokasi kejadian ini juga terletak di laluan kritikal penerbangan.
“Justeru, larangan ini adalah penting bagi memastikan keutamaan diberikan kepada keselamatan pesawat yang sedang beroperasi,” menurut kenyataan itu.
CAAM mengingatkan bahawa sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda.
Ia tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia dan Civil Aviation Directives (CADs). – KOSMO! ONLINE