JAKARTA – Seorang tukang gunting rambut di Indonesia terpaksa memakai alat bantuan pernafasan akibat keletihan menerima 80 pelanggan dalam masa sehari, lapor portal berita NTV News semalam.
Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @nyinyir_update_official memaparkan lelaki itu duduk di atas lantai dalam keadaan lemah.
Dia turut memakai alat bantuan pernafasan untuk mendapatkan oksigen tambahan.
Kejadian berlaku apabila kedainya dipenuhi pelanggan yang mahu memotong rambut sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Dia juga dilaporkan bekerja dari pagi hingga malam tanpa henti sehingga tidak mempunyai rehat mencukupi.
Klip video itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
“Rezeki setahun sekali,” kata seorang netizen.
“Ini seksa diri, kenapa tidak tolak?” kata seorang pengguna media sosial lain. – AGENSI