SUBANG JAYA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan seramai 125 individu cedera dan 78 rumah musnah dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini hari ini.
Menurut beliau, seramai 65 mangsa masih menerima rawatan, manakala 60 yang lain sudah dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan.
“Kebakaran ini menjejaskan dua kawasan utama iaitu Taman Harmoni di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru yang terletak dalam dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seri Serdang dan Kota Kemuning.
“Sebanyak 78 rumah dan 10 unit rumah kedai terkesan. Keseluruhan keluasan kawasan kebakaran meliputi 28 hektar,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian hari ini.
Amirudin memaklumkan kerajaan negeri dan Petronas sedang menyusun pelan pemulihan jangka panjang termasuk mencari tapak rumah baharu bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
“Kerja-kerja pemulihan dijangka mengambil masa setahun dan penduduk yang terjejas akan ditempatkan di penempatan sementara sehingga kediaman mereka dibaik pulih atau dibina semula,” ujarnya.
Amirudin menjelaskan penduduk masih tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing buat sementara waktu atas faktor keselamatan.
“Kami masih menilai risiko kesan susulan kebakaran termasuk kemungkinan berlaku litar pintas.
“Penduduk hanya dibenarkan masuk semula (rumah) selepas tempoh 24 hingga 48 jam, bergantung kepada keadaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kawasan kejadian dikawal ketat oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang pencerobohan atau risiko keselamatan tambahan.
Mengulas mengenai punca kebakaran, Amirudin menegaskan siasatan masih dijalankan dan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi. – KOSMO! ONLINE