LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengesahkan pemain sensasi, Bukayo Saka sedia untuk diturunkan menentang Fulham pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok.
Sebagai rekod, Saka sebelum ini sudah disisihkan lebih tiga bulan kerana mengalami kecederaan kaki tetapi sudah disahkan pulih sepenuhnya oleh barisan kejurulatihan.
Kata Arteta, kehadiran Saka diharap dapat menambah sengat pasukan dalam usaha merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Liverpool musim ini.
“Saka boleh diturunkan selepas menjalani sesi latihan selepas beberapa minggu. Kita boleh lihat dia begitu semangat untuk membantu pasukan menamatkan saingan musim ini.
“Dia adalah watak penting dalam pasukan dan harap dia dapat membantu jentera serangan kami untuk lebih ampuh nanti,” katanya.
The Gunners ketika ini mengutip 58 mata dan dibezakan 12 mata berbanding Liverpool selepas mengharungi 29 perlawanan. – AGENSI