PETALING JAYA – Pempengaruh dan usahawan Khairul Aming mengucapkan terima kasih kepada pengikutnya kerana sudi mengikuti setiap resipi juadah berbuka serta sahur yang dikongsikan menerusi platform media sosial.
Dalam satu hantaran terbaharu Khairul Aming, dia menyifatkan batch (kumpulan) tahun ini sebagai paling teruk apabila ramai pengikut gagal mendapatkan hasil juadah terbaik sehingga ada resipi yang diikuti langsung tidak menjadi.
Bagaimanapun, lebih 25 resipi juadah berbuka dan sahur dikongsikan Khairul Aming sepanjang Ramadan kali ini sehingga meraih tontonan mencecah 500 juta.
Dalam masa sama, dia mengakui tersentuh apabila pelbagai lapisan masyarakat bersatu hati mencuba setiap resipi yang dikongsikan.
“Selepas lapan tahun buat video masak, tahun ini yang buat aku menitik air mata. Video masak menyatukan semua orang, yang tua, yang muda, tak kira umur atau bangsa, semua masuk dapur untuk cuba memasak.
“Dengan lebih daripada separuh bilion tontonan di pelbagai platform, tahun ni ‘officially’ menjadi tahun terbesar konten puasa KA (Khairul Aming) dalam sejarah,” katanya.
Dia juga memohon untuk berehat seketika sebelum kembali aktif di media sosial.
“Terima kasih beri KA peluang untuk meriahkan bulan puasa korang. Saya undur diri dahulu untuk berehat. Selamat hari raya ‘guys’, maaf zahir dan batin,” katanya. – KOSMO! ONLINE