AUSTRIA – Penasihat Red Bull, Helmut Marko mengesahkan Yuki Tsunoda akan menamatkan musim Formula Satu (F1) 2025 bersama pasukan utama Red Bull selepas dinaikkan pangkat menggantikan Liam Lawson.
Keputusan itu dibuat selepas Grand Prix (GP) China di mana Lawson gagal memberikan prestasimeyakinkan dalam dua perlumbaan termasuk menduduki tempat terakhir dalam kedua-dua sesi kelayakan di Shanghai.
Meskipun timbul spekulasi mengenai kestabilan tempat kedua dalam pasukan Red Bull, Marko menegaskan kedudukan Tsunoda tidak akan berubah.
“Tsunoda akan tamatkan musim ini,” katanya ringkas.
Red Bull sebelum ini menafikan peluang kepada Tsunoda, namun perubahan berlaku berdasarkan prestasi positif ditunjukkannya dalam perlumbaan di Melbourne dan Shanghai meskipun keputusan akhir dipengaruhi oleh strategi pasukan.
“Tsunoda adalah pelumba yang pantas dan kami tahu itu tetapi dia mengalami turun naik dalam prestasinya. Sebab itu kami berpendapat Lawson adalah calon yang lebih kuat.
“Namun, Yuki telah mengalami transformasi. Dia menukar pengurusan dan dalam situasi sekarang ini adalah pilihan terbaik,” jelas Marko.
Selepas GP China, Red Bull memberikan dua hingga tiga sesi simulator kepada Tsunoda untuk menilai kebolehannya dan pelumba Jepun itu menunjukkan perbezaan yang meyakinkan.
“Kami perlu bertindak pantas dan segala-galanya positif. Maklum balas teknikalnya yang sering dipersoalkan sebelum ini, ternyata tidak benar. Dia memahami aspek teknikal dan mampu menyediakan tetapan kereta dengan baik,” tambah Marko. – AGENSI=