PEMAIN Terengganu FC (TFC) hanya diberi cuti pendek untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan perlu kembali menjalani latihan pada 2 Syawal iaitu Selasa ini.
Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali berkata, mereka perlu berkorban beraya singkat bersama keluarga tercinta bagi membuat persiapan rapi bertembung dengan Selangor FC untuk aksi Liga Super pada 5 April ini.
“Saya mengingatkan pemain-pemain agar tidak beraya terlalu sakan kerana kecergasan perlu dijaga.
“Aksi dengan Selangor amat penting dengan misi mencuri tiga mata biarpun beraksi di gelanggang lawan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Badrul Afzan berkata, tiga aksi terakhir Liga Super selepas sambutan Aidilfitri merupakan fasa kritikal buat skuad Sang Penyu.
Beliau berkata, TFC yang kini berada di tangga kelima tidak boleh keciciran walaupun satu mata dalam kesemua perlawanan jika mahu menamatkan kempen di kedudukan empat teratas.
“Kita tiada pilihan lain, harap pengorbanan terpaksa bercuti raya singkat ini dapat meningkatkan motivasi pemain-pemain untuk mencapai misi. Ia bukan tugas mudah dan Selangor merupakan antara halangan terbesar kita,” katanya.
Badrul Afzan mengakui sukar untuk menjinakkan The Red Giants di laman mereka sendiri, apatah lagi lawan juga berada dalam momentum terbaik pada masa ini.
“Harapan kami untuk menggunakan khidmat Ivan Mamut untuk mengemudi barisan serangan juga nampaknya tidak kesampaian. Dia harus berehat hingga akhir musim,” katanya.
Selepas aksi menentang Selangor, TFC akan berdepan PDRM FC pada 19 April sebelum menutup musim dengan perlawanan getir menentang Kedah Darul Aman FC di tempat sendiri.