SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 5,000 rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini, hari ini.
Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. Ketibaan baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan barisan kepimpinan exco negeri.
Sebelum dan selepas menunaikan solat, Sultan Sharafuddin turut berkenan bersalaman dengan jemaah yang hadir dan baginda turut berkenan menyertai majlis santapan di masjid berkenaan.
Sementara itu, dalam khutbah bertajuk Eidulfitri: Kembali kepada Fitrah yang dibacakan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir menyeru umat Islam memperbanyakkan rasa syukur dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar takwa.
“Aidilfitri mengingatkan kita bahawa fitrah manusia pada hakikatnya mengenali dan bersaksi bahawa Allah adalah Tuhan Maha Pencipta yang mentadbir alam ini.
“Selain itu, ia mengajar kita cenderung kepada mentauhidkan Allah dan menerima agama Islam yang diutuskan sebagai cara hidup sesuai dengan fitrah,” katanya.
Tambah beliau, umat Islam perlu bersyukur kerana telah kembali kepada fitrah diri yang bersih dan suci pada Aidilfitri ini. – KOSMO! ONLINE