BEKAS penyerang antarabangsa Portugal, Ricardo Quaresma bakal turun ke bumi Alor Setar pada 11 April depan bagi menyaksikan aksi persahabatan antara skuad All Star Kedah dan All Star Malaysia di Stadium Darul Aman.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan KDA FC semalam, skuad All Star Kedah terdiri dari pilihan pemain yang pernah menyarung jersi Kedah pada era 90-an ke atas.
“Keunikan pemainan persahabatan kali ini akan dimeriahkan lagi kehadiran bekas pemain Portugal Ricardo Quresma.
“Manakala bagi pasukan All Star Malaysia pula, ia akan diwakili oleh pemain-pemain yang tidak asing lagi seperti, A. Jayakanthan (Bekas pemain Selangor), Mohd Faiz Subri (Bekas pemain Pulau Pinang), Indra Putra Mahayuddin (Bekas pemain Perak), Azmil Azali (Bekas pemain Johor) dan ramai lagi.
“Sempena perlawanan persabahatan ini juga, pihak KDA FC melalui inisiatif The Wing iaitu satu program keahlian bersama kelab, akan mengumumkan Duta Rasmi The Wing sebelum perlawanan persahabatan bermula di satu majlis yang berasingan yang akan diumumkan kelak.
“Ini adalah detik bersejarah kepada KDA FC mempunyai seorang figura antarabangsa (Quaresma) sebagai Duta Resmi program keahlian The Wing,” katanya.
Harga tiket bagi menyaksikan perlawanan persahabatan ini bermula RM50 hingga RM250 dan sudah mula dijual di thewingkdafc.com – KOSMO! ONLINE