PETALING JAYA – Hari pertama sambutan Aidilfitri kali ini menyaksikan aliran trafik di lebuh raya utama utama negara lancar susulan anak perantau sudah sampai di kampung halaman masing-masing.
Semakan Kosmo! pada paparan televisyen litar tertutup (CVTV) di laman web Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati, aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara lancar, bagaimanapun terdapat pertambahan kenderaan di laluan menuju selatan tengah hari ini berbanding pagi tadi.
Sementara itu, di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 dan 2 pula, aliran trafik semasa menunjukkan keadaan lengang di lebuh raya.
Di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak juga lancar, namun jumlah kenderaan sedikit tinggi sepanjang laluan Genting Sepah. – KOSMO! ONLINE