PENYERANG import Terengganu FC (TFC), Ismaheel Akinade bakal merayakan Aidilfitri ini bersama keluarga rakan sepasukan, Akhyar Rashid di Kedah.
Pemain kelahiran Nigeria itu berkata, ia kali pertama dia beraya di negeri Jelapang Padi tersebut dan tidak sabar untuk merasai kemeriahannya.
“Tahun lalu saya sempat beraya di Kelantan tetapi tidak banyak yang saya lakukan.
“Oleh itu, kali ini saya mahu merasai kemeriahan solat sunat Aidilfitri di Kedah bersama Akhyar dan keluarganya,” katanya ketika dihubungi kepada Kosmo!.
Akinade, 31, terharu dengan kesudian Akhyar yang sudi mengajak beraya bersama-sama keluarganya.
Beliau mengakui bahawa sambutan Aidilfitri di negara ini jauh lebih meriah berbanding negara asalnya, Nigeria.
“Kami di Nigeria lebih memberi tumpuan terhadap Aidiladha. Apa yang saya lihat, masyarakat Malaysia benar-benar meraikan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Ini menjadikan satu pengalaman yang istimewa buat saya. Meskipun terdapat beberapa perbezaan antara sambutan perayaan di Nigeria dan Malaysia, nilai kekeluargaan dan persaudaraan dalam kalangan umat Islam itu tetap sama,” katanya.
Akinade yang sudah empat tahun beraksi di Liga Malaysia juga teruja untuk menikmati pelbagai juadah tradisional masyarakat Melayu Kedah yang disediakan pada pagi raya.
Beliau juga mahu merasai suasana kampung yang masih menerapkan adat ketimuran di Kedah.
“Saya tidak sabar untuk mencuba makanan tempatan. Pengalaman ini pasti menjadi kenangan indah buat saya,” katanya.
Sebelum menyarung jersi TFC pada musim ini, Akinade pernah beraksi bersama Kelantan FC dan Kelantan United FC. – KOSMO! ONLINE