JAKARTA – Satu klip video tular memaparkan sebuah mahkamah syariah di Indonesia dipenuhi orang ramai yang ingin menuntut perceraian pada hari pertama Aidilfitri, lapor portal berita Wartabanjar semalam.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @zakariawanda_lawyer menunjukkan orang ramai sedang duduk sambil menunggu giliran mereka.
Ada antara mereka juga beratur di Kaunter Perkhidmatan Terpadu Satu Pintu (PTSP) untuk mengambil borang perceraian.
Lebih menarik perhatian apabila proses perbicaraan di ruang sidang dilaksanakan tanpa henti.
“Mahkamah Agama pada 1 Syawal bukannya sepi tetapi dipenuhi orang untuk bercerai,” demikian menurut keterangan video itu.
Rakaman tersebut mencatatkan lebih 692,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Kenapa ramai warga emas yang mahu cerai?” kata seorang netizen.
“Ini bukan baju baharu, tetapi status baharu,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI