fbpx

Jadikan Aidilfitri jambatan perpaduan antara kaum dan agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Mizan (dua dari kanan) bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al Mukti Billah Shah, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru masyarakat negara ini terus menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai jambatan perpaduan antara kaum dan agama di negara ini.

Baginda bertitah, kita bertanggungjawab mempertontonkan sikap toleransi dan hormat-menghormati antara kaum dan agama dalam meraikan Aidilfitri untuk diteladani masyarakat antarabangsa.

“Kepelbagaian bangsa dan agama terjalin di negara kita sedari dulu menunjukkan ia sesuatu yang bukan mudah untuk dileraikan.

“Sambutan Aidilfitri boleh dijadikan medium untuk kita bersama menghormati kewujudan kepelbagaian di negara ini dengan menerima kunjungan tetamu pelbagai agama, kaum dan budaya,” titah baginda dalam perutusan Aidilfitri di sini hari ini.

Sultan Mizan bertitah, amalan menziarahi tersebut dapat mewujudkan kegembiraan sesama keluarga, sahabat handai dan jiran.

Baginda juga menyeru umat Islam agar meneruskan amalan yang biasa dilakukan pada bulan Ramadan seperti solat sunat, berzikir dan berqiamullail.

“Memperbanyakkan ucapan syukur kepada Allah seperti amalan sahabat apabila mereka saling mendoakan amalan kebaikan ketika bertemu pada sambutan Aidilfitri,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Mizan dan anakanda baginda berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat jelata di Masjid Al Mukti Billah Shah di sini sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI