fbpx

Anggota tentera ditahan kes tumbuk wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar tular seorang lelaki menumbuk muka pemandu Perodua Axia selepas anaknya dipercayai dilanggar ketika melintas jalan di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang, Seremban.

SEREMBAN – Seorang anggota tentera ditahan bagi membantu siasatan kes menumbuk wanita dalam kejadian kemalangan di jalan di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi membantu siasatan.

Menurutnya, insiden berlaku kira-kira pukul 10.15 malam, membabitkan sebuah kereta dan dua orang pejalan kaki di Jalan Persiaran Senawang 4.

“Lelaki berkenaan ditahan kerana dikatakan telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap pemandu kereta sehingga mendapat kecederaan lebam di bahagian rusuk sebelah kanan dan bengkak di bahagian belakang kepala.

“Kes kekerasan ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kekerasan jenayah pada mangsa. Dalam masa yang sama kereta mangsa juga rosak dan kita siasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau memaklumkan, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu oleh seorang wanita berumur 28 tahun dalam perjalanan dari Mydin Senawang menghala ke Senawang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba pejalan kaki seorang wanita berusia 34 tahun dan anak perempuannya berusia tujuh tahun telah melintas jalan dari arah sebelah kiri jalan ke sebelah kanan jalan.

“Akibat jarak yang sudah dekat, pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu telah melanggar pejalan kaki tersebut,” katanya.

Ujar Mohamad Hatta, akibat daripada kemalangan berkenaan, pejalan kaki bersama anak perempuannya telah mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan dijalankan di bawah kaedah 10, kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian yang boleh mencetuskan ketegangan dan patuh kepada undang-undang selain menasihati semua pihak supaya lebih berhati-hati terutama ketika melintas jalan dan ketika melalui tempat-tempat sesak untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Sehubungan itu, individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Khairul Aswad Mazlan di talian 011-10843873 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI