PETALING JAYA – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) selamat tiba di daerah Sagaing, Myanmar bagi memulakan misi kemanusiaan serta membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di negara itu.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), perjalanan pasukan Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia (MAS-01) itu tiba di kawasan gempa bumi selepas melalui perjalanan hampir 24 jam dengan bantuan serta iringan pihak polis.
“Setibanya di lokasi pengoperasian, pasukan mendirikan Pusat Operasi (BoO) bagi melancarkan misi bantuan.
“Kontinjen Komander turut mengadakan mesyuarat Local Emergency Management Authorities (LEMA) yang diwakili oleh pegawai daerah, U Myaw Swar Maung Soe,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, seramai 50 anggota dan pegawai pasukan SMART berlepas ke Naypyidaw, Myanmar menggunakan dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pasukan yang diketuai komander kontinjen PgKB I Mohamad Hafiezul Abdul Halim terdiri daripada 16 wakil Angkatan Tentera Malaysia, 13 anggota Polis Diraja Malaysia dan seramai 21 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Sebelum ini, dua gempa bumi dengan magnitud 7.7 berlaku sekitar pukul 1 tengah hari (waktu tempatan), Jumaat lalu dengan pusat gempa terletak di Wilayah Sagaing, barat laut Myanmar.
Gempa kedua dengan magnitud 6.4 pula berlaku tidak lama selepas itu di mana gegaran susulan daripada kedua-dua gempa turut dirasai di Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh City. – KOSMO! ONLINE