MANDALAY – Seorang wanita ditarik keluar dari runtuhan dalam keadaan selamat selepas terperangkap di bawah bangunan pangsapuri yang runtuh selama 30 jam ekoran gempa bumi Myanmar, lapor laman berita News.com.au.
Detik menyelamat luar biasa itu dirakam menerusi video. Ia menunjukkan mangsa, Phyu Lay Khaing, 30, dibawa keluar dengan pengusung oleh penyelamat.
Wanita itu memeluk suaminya Ye Aung sebelum dia dikejarkan ke hospital.
“Pada mulanya saya tidak menyangka dia masih hidup,” kata Ye Aung kepada agensi berita AFP.
“Saya sangat gembira kerana saya mendengar berita baik,” tambahnya.
Lebih 90 orang lagi dipercayai terperangkap di bawah Sky Villa Condo di bandar Mandalay, Myanmar.
Pakar berkata, gempa bumi dahsyat di Myanmar kelmarin berkemungkinan paling kuat melanda negara itu dalam beberapa dekad, dengan pemodelan bencana mencadangkan bahawa lebih 10,000 orang berisiko maut.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 1,644 orang disahkan terbunuh dan hampir 3,400 cedera, dengan sekurang-kurangnya 139 hilang, kata junta pemerintah dalam satu kenyataan.
Kira-kira 17 kematian telah disahkan di Bangkok hari ini. – AGENSI