PETALING JAYA – “Kereta tak ada, tak balik kampung, ayah baru kemalangan,” kata seorang pelajar lelaki sekolah menengah selepas ditanya seorang guru mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Jawapan tersebut membuatkan guru berkenaan sebak, lebih-lebih lagi dengan keadaan bapa pelajar itu yang menyebabkan mereka sekeluarga tidak dapat pulang ke kampung di Kedah.
Menerusi video dimuat naik pada TikTok ItsmeWany, wanita itu yang juga guru kaunseling pada mulanya masuk ke kelas pelajar tingkatan dua di sekolahnya di Johor sebagai kelas ganti.
Kira-kira 15 minit sebelum kelas tamat, dia bersembang dengan pelajar-pelajar dan bertanya sambutan hari raya kali ini sama ada mereka pulang ke kampung atau sebaliknya.
“Baru kemalangan minggu lepas. Kampung kat Kedah,” kata pelajar itu semasa berbual dengan guru tersebut.
Dalam pada itu, wanita berkenaan cuba menahan sebak selepas mendengar jawapan pelajar berkenaan.
“Cikgu dah telan air liur, tengok air muka dia tiba-tiba sedih. Cikgu dah sebak dah masa ni, tapi tahan dan teruskan bertanya,” katanya.
Menerusi ruangan komen, ramai yang bersimpati dengan pelajar tersebut selain ada yang memuji guru itu kerana sikap prihatin ditonjolkan.
“Terbaiklah cikgu prihatin kepada anak-anak,” komen seorang pengguna TikTok.
“Allah, semoga dipermudah segala urusannya,” kata seorang individu. – KOSMO! ONLINE
@wanyananSambungan cerita semalam. Semoga yang sedang diuji, Allah permudahkan urusan kalian. 🤲🏻♬ original sound – ACHIK AFIQ 06 – Achik Afiq 06