fbpx

Usaha Harrif tuai kejayaan lumayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARRIF ceria menaiki podium selepas menduduki tempat ketiga Peringkat 5 Jelajah Thailand kelmarin. - TERENGGANU CYCLING TEAM

PELUMBA berbasikal Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh membuktikan semangat juangnya apabila bangkit daripada insiden kemalangan sebelum menamatkan perlumbaan Peringkat 5 Jelajah Thailand di tempat ketiga kelmarin.

Harrif yang juga terkenal dengan kepakarannya dalam pecutan akhir mengalami kemalangan dalam peringkat 1, namun ia tidak menjadi halangan untuk kembali bersaing di kelompok hadapan.

Dalam perlumbaan sejauh 136.2 kilometer (km) tersebut, pelumba yang mesra disapa ‘Mamat’ itu tetap berusaha memberikan aksi terbaik sebelum akhirnya berjaya menaiki podium.

“Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang membantu membawa saya ke kelompok hadapan. Perlumbaan semalam (kelmarin) sangat laju, mungkin saya agak terlewat untuk mara ke depan tetapi saya bersyukur masih dapat menaiki podium.

“Alhamdulillah keadaan badan saya semakin baik selepas insiden terjatuh. Ada sedikit peningkatan dan untuk peringkat terakhir, kami akan cuba lagi dapatkan kedudukan terbaik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Sebelum kejayaan itu TSG telah mencatat dua lagi podium di Thailand menerusi Wan Abdul Rahman Hamdan yang memenangi gelaran Pelumba Terbaik ASEAN pada Peringkat 1 dan tempat ketiga Peringkat 3 setelah mengharungi perlumbaan sejauh 135.2 km.

Prestasi cemerlang TSG dalam perlumbaan berstatus UCI 2.1 berkenaan membuktikan mereka masih menjadi antara kuasa besar sukan berbasikal Asia.

Jelajah Thailand 2025 kini menuju ke Peringkat 6 dengan pelumba bakal mengharungi cabaran sejauh 125.2 km dari Watthana Nakhon ke Aranyaprathet.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI