PETALING JAYA – Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada esok.
Pengumuman tarikh Hari Raya Puasa itu disiarkan menerusi siaran televisyen dan radio tempatan sebentar tadi.
Menerusi kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia sebelum ini, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.
Terdahulu, tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang hari ini bersamaan 29 Ramadan di 29 lokasi di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE