GEORGE TOWN – Kebanjiran ratusan pengemis jadian di Jalan Masjid Kapitan Keling di sini sejak malam 27 Ramadan menyebabkan kumpulan itu dikatakan terpaksa dipantau individu atau penjaga kawasan bagi mengelak kekecohan disebabkan berebut duit raya.
Perkara tersebut didedahkan seorang pemuda berusia 20-an yang mendakwa bertindak sebagai ‘tukang jaga’ kumpulan pengemis di lokasi berkenaan.
Menurut lelaki tempatan itu, kehadirannya ke situ semata-mata untuk mengawal keadaan sekiranya berlaku pergaduhan melibatkan individu terutama pengemis asing.
“Saya jaga mereka, bimbang berlaku kejadian berebut duit raya seperti tahun lalu membabitkan etnik Rohingya.
“Saya akan ikut mana-mana penderma sewaktu agihan wang dilakukan kerana tidak mahu ada pergaduhan atau rasa tidak puas hati.
“Bila ada kekecohan berlaku, polis akan datang dan semua yang ada di sini akan dihalau balik. Daripada boleh cari duit raya sampai Ahad semua diusir pulang,” katanya kepada Kosmo! di sini malam kelmarin.
Dalam pada itu, katanya, setakat ini jumlah wang yang mampu dikumpul seorang pengemis adalah RM160 sehari.
“Kali ini, ramai penderma beri RM1 atau RM2 dan paling banyak RM10. Malah, siapa sahaja yang ada di sini termasuk pelanggan kedai nasi kandar berdekatan juga akan dihulurkan wang oleh penderma budiman.
“Penderma tidak kira bangsa, umur dan warna kulit. Semua yang duduk di sini akan diberi duit raya.
“Tadah tangan atau datang dekat kami, akan dapat duit raya,” katanya yang memberitahu seorang penderma hanya perlu menyediakan RM300 hingga RM600 untuk diberi kepada individu di situ.
Jelasnya, kebanyakan pengemis tinggal di sekitar pusat bandar ini, Seberang Perai dan Sungai Petani, Kedah.
Mereka akan ‘berumah tangga’ di situ sehingga malam raya bagi menunggu pemberian duit atau kuih raya daripada orang awam.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati ada beberapa pemuda yang duduk atau berdiri di tepi dan sudut kaki lima bagi menunggu kehadiran penderma terdiri daripada jemaah masjid dan pengguna jalan raya.
Malah, ada juga dipercayai bertindak sebagai ‘orang tengah’ dalam urusan agihan wang daripada penderma bagi membantu melancarkan urusan pemberian duit raya.
Semalam, Kosmo! melaporkan lebih 100 pengemis dikesan mula ‘berumah tangga’ di kaki lima bangunan dan pekarangan luar Masjid Kapitan Keling sejak Jumaat malam dengan ada yang bawa anak kecil dan ibu bapa yang uzur.
Hasil tinjauan di lokasi, majoriti pengemis yang terdiri dalam kalangan warga tempatan itu masih tidak berganjak di lokasi berkenaan sehingga pukul 2 pagi.
Rata-rata mereka yang hadir berkeluarga itu dilihat duduk serta baring di lantai kaki lima premis-premis, termasuk ada yang berjalan ke hulu hilir sementara menunggu kehadiran individu pemurah. – KOSMO! ONLINE