BENTONG – Gara-gara ‘lori terbang’, tiga pengguna jalan raya maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Kilometer 50.7, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di sini hari ini.
Difahamkan, dalam kejadian pukul 4.45 petang lori itu yang dalam perjalanan dari arah Kuantan hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta jenis Honda Accord dan Proton Waja.
Kenderaan lain yang turut terlibat adalah kereta Proton Saga dan Subaru.
Ekoran kejadian itu, tiga mangsa dalam kereta Honda Accord meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tiga lagi penumpang kereta sama dan pemandu lori cedera.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Razam Taja Ibrahim berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.20 petang.
“Seorang lelaki dan dua wanita dewasa yang berada dalam kereta Honda Accord disahkan meninggal dunia.
“Pasukan bomba mengeluarkan kesemua mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat. Seorang wanita dewasa, kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan di dalam Honda Accord diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Bentong,” katanya.
Menurut beliau kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE