GUA MUSANG – Laluan pintu masuk Kelantan di daerah ini sesak dengan kenderaan sejak malam tadi apabila perantau berpusu-pusu pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.
Tinjauan Kosmo! mendapati, perantau yang pulang ke Kelantan terpaksa mengharungi tempoh lebih empat jam bagi perjalanan sejauh kira-kira 30 kilometer dari Merapoh, Pahang ke Kampung Mentara di sini susulan susur keluar ke Gua Musang dibuka satu lorong.
Seorang juruteknik, Mohamad Awal Asraf Zimi, 26, berkata, dia terpaksa mengharungi kesesakan sehingga lebih empat jam sebelum tiba di Hentian Gua Musang.
Katanya, kadar kelajuan kenderaannya ketika melalui jalan itu adalah 10 hingga 20 kilometer.
“Kami sampai di Merapoh kira-kira pukul 5 pagi tadi dan kenderaan sangat perlahan sehingga sampai di Kampung Mentara.
“Masalah berlaku apabila jalan Merapoh yang mempunyai dua lorong menjadi satu lorong. Lebih memburukkan keadaan apabila pengguna jalan lama Kampung Mentara juga ingin memasuki jalan yang sama. Saya harap Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) pakej dapat dipercepatkan,” katanya ketika ditemui di Hentian Gua Musang, di sini hari ini.
Seorang lagi perantau, Saiful Basri Rahman, 34, pula berkata, kesesakan jalan yang berlaku menyebabkan ada pengguna terpaksa berhenti di tepi jalan kerana kenderaan mengalami masalah dan ingin menghilangkan penat. – KOSMO! ONLINE