BALING – “Hati kami sayu kerana segala kelengkapan Aidilfitri untuk Fayyad sudah ada (disediakan), namun sayangnya Fayyad tak ada.”
Demikian kata Aziz Saad, 60, datuk kepada Muhammad Fayyad Affan Mohamad Fakhri, 4, berhubung kehilangan cucunya yang sehingga kini masih belum dijumpai.
“Namun Fayyad masih hilang, hanya Tuhan sahaja tahu perasaan kami. Apa yang kami boleh buat ketika ini adalah berdoa agar cucu saya dapat ditemukan segera,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kampung Landak Paya, Kupang, di sini hari ini.
Menurut warga emas itu, pada hari kehilangan kanak-kanak itu, Muhammad Fayyad tidak sempat meminum susu.
“Sampai sekarang kami tidak pasti bagaimana nasib Fayyad, kami sangat susah hati,” ujarnya.
Sementara itu, nenek mangsa, Rosnani Ismail, 58, berkata, sehari sebelum cucunya hilang, Muhammad Fayyad dan ibunya datang ke rumahnya di Kampung Sera untuk berbuka puasa.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dikhuatiri hilang selepas tiada di rumahnya di Kuarters JPS Kampung Landak Paya, Kupang. Muhammad Fayyad Affan disedari hilang pada pukul 12.30 tengah hari. – KOSMO! ONLINE